RMK13: 1 juta rumah mampu milik akan dibina

Sinar Harian,  31 July 2025

Anwar (kanan) melihat model rumah mampu milik pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia Madani dan Rumah Mampu Milik di Mukim Batu, Kuala Lumpur pada April lalu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Sebanyak satu juta unit rumah mampu milik akan dibina dalam tempoh 2026 hingga 2035 bagi membolehkan seramai mungkin rakyat mendiami kediaman yang selesa dan selamat melalui pelbagai inisiatif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen tersebut bakal dan sedang dilaksanakan menerusi projek perumahan di bawah program Residensi Madani, Perumahan Penjawat Awam, Bantuan Bina Baharu Rumah dan Program Perumahan Mampu Milik di bawah kerajaan negeri serta pemaju swasta.

"Inisiatif seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan akan diperluas bagi membolehkan lebih ramai rakyat, termasuk yang berpendapatan rendah dan sederhana, mampu memiliki rumah sendiri.

"Peralihan kepada teknologi seperti Industrialised Building System dan Building Integrated Management akan membantu mempercepatkan pelaksanaan serta mengurangkan kos pembinaan rumah, termasuklah perumahan awam," katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, inisiatif seperti Kota Madani di Putrajaya yang melibatkan kerjasama kerajaan dengan pihak swasta akan diperluas sebagai model pembangunan perumahan mampu milik yang menterjemahkan konsep perbandaran ‘Umran Hadhari’.

"Konsep ini membolehkan rakyat bukan sahaja memiliki tempat tinggal, tetapi juga menikmati kehidupan dalam sebuah bandar yang menggabungkan kemajuan dengan nilai, kemodenan dengan akhlak dan teknologi dengan kemanusiaan," katanya.

  

(Web Source: https://www.sinarharian.com.my/article/741211/berita/nasional/rmk13-1-juta-rumah-mampu-milik-akan-dibina?fbclid=IwY2xjawL46YNleHRuA2FlbQIxMABicmlkETFqT2NBakpDUjB3bDhibWZRAR5AUOc9hRT_Mj43PbPtWPX3qRKTh4aYV9RWGFrNNCIEihgenSHHPEjWLwmsDA_aem_IcKNLJhNdhuYr6uWfokUXg)