RMK13: Ini Intipati Pembentangan Oleh PM Anwar Ibrahim
Buzz Kini, 31 July 2025

Antara intipati di dalam Rancangan Malaysia ke-13 adalah program sumbangan STR serta SARA yang akan diteruskan untuk mengurangkan beban perbelanjaan serta kenaikan kos sara hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi (31 Julai) baru sahaja membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
RMK13 ini merupakan rancangan pembangunan untuk tempoh lima tahun iaitu dari 2026 sehingga 2030 dengan tema ‘Melakar Semula Pembangunan’.
Sebanyak RM430 bilion akan diperuntukkan pada 2026 sehingga 2030 untuk membiayai pelaksanaan program dan projek pembangunan kerajaan Persekutuan.
Manakala pembiayaan daripada GLC dan GLIC berjumlah RM120 bilion untuk menyokong pertumbuhan ekonomi melalui pelaburang langsung domestik dalam sektor stratergik. Sokongan pihak swasta pula melalui kaedah perkongsian awam swasta (PPP) adalah sebanyak RM61 bilion.

Di bawah kami senaraikan intipati penting yang terkandung dalam RMK13:
Infrastruktur & kemudahan
- Kadar purata inflasi dijangka kekal stabil dalam lingkungan 2%-3% setahun.
- Infrastruktur dan kemudahan awam akan ditambah baik untuk tingkatkan akses jaringan sosial serta peningkatan hidup masyarakat Cina, India termasuk wanita, belia dan warga berusia.
- Pusat penjagaan yang berkualiti akan diperluaskan serta latihan bersesuaian akan disediakan untuk meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam pasaran kerja kepada 60% termasuk ibu yang ada anak kecil.
Tangani kos sara hidup
Foto: Malay Mail
- Sumbangan STR dan SARA akan diteruskan untuk mengurangkan beban perbelanjaan kerana kenaikan kos sara hidup.
- Payung Rahmah akan dipergiatkan melalui program-program seperti Jualan Rahmah, menu dan Kafe Rahmah serta Bakul Rahmah.
- Tingkatkan pemantauan dan kawalan harga makanan untuk pastikan ketelusan harga sepanjang rantaian bekalan.
- Kerajaan usaha kurangkan beban bil utiliti kediaman, melalui kaedah Time of Use (ToU) yang diwartakan Tenaga Nasional Berhad.
- Pakej Rahmah untuk perkhidmatan internet, insurans dan takaful pada harga mampu dibayar dan diteruskan.
- Kos pengangkutan awam yang berpatutan seperti pas perjalanan bulanan dan pas perjalanan khas kepada pelajar, warga emas, dan OKU termasuk program subsidi tiket penerbangan udara kepada pelajar akan diteruskan.
Pendidikan
Foto: Malay Mail
- Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan kekal menjadi penanda aras utama pada peringkat kebangsaan untuk menilai keberkesanan dasar, kurikulum dan pendekatan pedagogi sistem pendidikan.
- Program Latihan Khidmat Negara akan dilaksanakan dengan pembaharuan yang selari dengan kehendak semasa.
- Sebanyak RM67 bilion akan diperuntukkan bagi sektor pendidikan seperti membina sekolah, membaiki, dan naik taraf pembangunan sekolah serta tadika kemas dan fasiliti dan kemudahan institusi pendidikan tinggi awam.
- Sehingga 2025 sebanyak 1,200 buah sekolah daif telah dinaik taraf di seluruh negara.
- Kerajaan sedang ke arah mewajibkan prasekolah bermula umur 5 tahun. Lebih banyak kemudahan prasekolah di sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan disediakan khususnya di kawasan desa.
- Pembinaan sekolah juga akan dijadikan syarat kebenaran merancang untuk projek perumahan berskala besar yang baharu.
- Perkasa penguasaan Bahasa Melayu di setiap peringkat. Manakala Bahasa Inggeris jadi sebahagian dari bahasa pembelajaran dan perhubungan.
- Pembelajaran bahasa tambahan juga diperluaskan.
- Pengukuhan pendidikan STEM dan literasi digital, termasuk pengenalan asas AI untuk lahirkan generasi muda yang memenuhi permintaan pasaran kerja di masa depan.
- Mekanisme pengambilan guru daripada pelbagai sumber secara terbuka akan ditambah baik. Pendekatan ini untuk beri peluang kepada calon yang benar layak, berpotensi dan ada komitmen tinggi kepada dunia pendidikan.
- 17 bentuk bantuan diperkenalkan kepada pelajar seawal peringakat prasekolah hingga menengah supaya tak tercicir dari mendapat makanan yang sihat dan berkhasiat.
- Kerajaan akan perkenal skim Pembiayaan Perkasa TVET Madani dan Dana Latihan TVET. Penawaran program TVET diluaskan kepada pelajar tahfiz untuk lahirkan huffaz teknokrat MADANI yang ada nilai tambah kepakaran.
Makanan
Foto: Malay Mail
- Sumber import makanan akan dipelbagaikan agar tak bergantung kepada negara tertentu sahaja.
- Kawal selia kemasukan makanan dalam negara untuk perkukuhkan keselamatan dan kualiti makanan terjamin.
- Negara mensasarkan nilai eksport halal, terus meningkat kepada RM80 bilion dan sumbangan industri halal kepada KDNK naik kepada 11%.
Gaji pekerja & peluang pekerjaan
Foto: Freepik
- Untuk meneruskan penambaikan pasaran buruh, usaha penyelaran gaji secara menyeluruh bakal dipercepatkan untuk memastikan pekerja menikmati perkongsian ekonomi yang lebih adil dan saksama.
- Kadar gaji minimum juga bakal diperluaskan kepada graduan serta pekerja separa mahir dan lepasan TVET di bawah MASCO 8 dan ke atas. Usaha ini bertujuan untuk menyediakan gaji setimpal setaraf kelulusan serta kemahiran pekerja.
- Majlis Perundingan Gaji Negara akan diperkasa. Kerajaan akan galakkan syarikat-syarikat besar menyediakan gaji kehidupan wajar seperti yang dilaksanakan GLIC dan GLC.
- Kerjasama erat antara institusi TVET dan industri akan menjadi pemangkin kepada perkongsian pengetahuan teknologi dan peningkatan kemahiran seperti dilaksanakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
- Dalam tempoh RMK13 Malaysia sasar pewujudan 700,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan dan 500,000 lagi penciptaan karier dalam bidang ekonomi digital.
- Menjelang 2030, aspirasi Malaysia adalah untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi dan tergolong dalam 30 ekonomi utama dunia.
Projek perumahan
Foto: Malay Mail
- Sehingga 2025, sebanyak 180,000 unit rumah telah disiapkan manakala 235,000 lagi sedang dibina oleh kerajaan.
- Sebanyak satu juta unit rumah mampu milik akan dibina oleh kerajaan Persekutuan serta Negeri dan pemaju swasta dalam tempoh 2026-2035. Ia bertujuan untuk membolehkan seramai mungkin rakyat mendiami rumah yang selesa dan selamat menerusi pelbagai inisiatif.
- Inisiatif Skim Jaminan Kredit Perumahan dan Skim Sewa untuk Beli (RTO) akan diperluaskan membolehkan orang ramai termasuk yang berpendapatan rendah serta sederhana mampu beli rumah sendiri.
- Peralihan teknologi seperti Industrialised Building System dan Building Integrated Management bakal bantu percepatkan pelaksanaan dan kurangkan kos pembinaan rumah dan perumahan awam.
Sektor Kesihatan
Foto: Freepik
- Sektor kesihatan akan menerima peruntukan sebanyak RM40 bilion dalam tempoh RMK13.
- Lebih banyak projek pembinaan serta naik taraf hospital dan klinik kerajaan termasuk yang daif akan dilaksanakan.
- Rangka kerja pembangunan profesional sektor kesihatan peringkat kebangsaan akan dibangunkan untuk tangani isu keperluan sumber manusia.
- Dijangka menjadi negara tua seawal 2043. Oleh itu, Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045 digubal sebagai panduan menyeluruh untuk persediaan menghadapi cabaran penuaan negara.
- Untuk memartabatkan sektor penjagaan sebagai kerjaya berpotensi tinggi, insentif perlindungan sosial dan faedah akan disediakan kepada penjaga dan juga pekerja perkhidmatan LTC (Penyediaan ekosistem perkhidmatan penjagaan jangka panjang). (246)
- Beranjak dari konsep penyelesaian berasaskan kaum kepada konsep penyelesaian berasas keperluan sebenar. Pelbagai program di bawah AIM dan TEKUN disediakan untuk peluang keusahawanan kepada semua.
- Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara akan diwartakan untuk mengawal selia tindakan iklim negara. Sistem amaran awal ditambah baik dengan penggunaan teknologi AI supaya rakyat bersedia dan dilindungi berdepan bencana.
Pelancongan

- Industri pelancongan telah kembali segar dan terus diberi keutamaan. Perbelanjaan pelancong asing di dalam negara sudah melonjak kepada RM102.2 bilion pada tahun 2024.
- Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menjadi pemangkin penting ke arah mencapai sasaran sumbangan sektor pelancongan sebanyak 16% kepada KDNK sepanjang tempoh RMK13.
(Web Source: https://buzzkini.my/news/2025/07/31/rmk13-ini-intipati-pembentangan-oleh-pm-anwar-ibrahim/)

