SJKP beri kemudahan rakyat miliki rumah sendiri [METROTV]
Harian Metro, 4 March 2022
https://www.youtube.com/watch?v=bZ8p4j9E0Ic
Johor Bahru: Pinjaman perumahan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) membolehkan rakyat yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tiada slip gaji membuat pinjaman perumahan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, skim pinjaman menerusi syarikat milik penuh Kementerian Kewangan itu adalah usaha kerajaan supaya lebih ramai rakyat dapat memiliki rumah sendiri.
Menurutnya, beliau yakin inisiatif seperti itu membolehkan lebih ramai Keluarga Malaysia memiliki rumah sendiri termasuk mereka yang menghadapi masalah mendapatkan kelulusan pembiayaan.
"Usaha ini adalah selari dengan pengumuman yang dilakukan semasa Belanjawan 2022 tahun lalu di mana sebanyak RM2 bilion diperuntukkan kepada SJKP untuk melaksanakan amanat ini.
"Ini membuktikan komitmen Kerajaan yang ingin melihat Keluarga Malaysia mendapat akses kepada pembiayaan perumahan seperti PR1MA dengan lebih mudah dan luas," katanya berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pembeli Residensi Larkin Indah, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Datuk Dr Fathul Bari.
Ismail Sabri berkata, selari dengan pertumbuhan ekonomi, perumahan juga menjadi keperluan kehidupan yang mendesak buat Keluarga Malaysia.
Ismail Sabri berucap ketika majlis penyerahan surat tawaran dan lawatan Perdana Menteri ke Residensi Larkin Indah, Jalan Datin Halimah, Johor Bahru. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
"Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat Covid-19, harga rumah masih dianggap mahal dan sukar dimiliki oleh golongan muda khususnya.
"Justeru Kerajaan, melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) menggariskan langkah segera dan jangka panjang yang perlu diambil untuk menyelesaikan perkara ini," katanya.
Ismail Sabri berkata, beliau berbangga dengan usaha kerajaan Johor bersama-sama agensi kerajaan lain seperti PR1MA untuk merealisasikan projek perumahan di seluruh Johor dalam menyahut seruan kerajaan untuk membina perumahan yang berdaya huni.
Katanya, usaha itu selari dengan aspirasi memperkasakan pemilikan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40 tanpa menanggung beban kewangan yang berat melalui program perumahan mampu milik.
"Setiap Keluarga Malaysia pastinya mengimpikan kehidupan yang harmoni, rumah yang selesa di samping kerjaya yang baik dan impian itu tidak mustahil untuk dicapai lebih-lebih lagi dengan adanya sokongan padu daripada agensi yang berkaitan dalam mendukung aspirasi terbabit.
"Inisiatif pembiayaan inovatif PR1MA menjadi satu contoh yang wajar dijadikan penanda aras dalam usaha kerajaan dan pihak industri seperti PR1MA dalam menyediakan akses kewangan yang mudah kepada pembeli rumah PR1MA.
"Inisiatif yang mesra pembeli ini pastinya dapat membuka lebih banyak peluang kepada lebih ramai Keluarga Malaysia khususnya golongan muda dan yang berpendapatan pertengahan untuk memiliki rumah PR1MA tanpa bimbang tentang pembiayaan perumahan.
"Ini adalah antara isu penting yang dibangkitkan dan dibincangkan semasa mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) baru-baru ini. Alhamdulillah kita sudah dapat melihat hasil daripada perbincangan tersebut," katanya.
(Web source: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/03/817059/sjkp-beri-kemudahan-rakyat-miliki-rumah-sendiri-metrotv)