Tambah baik skim SJKP bantu realisasi impian rakyat miliki rumah
Utusan Malaysia, 28 Julai 2023
ONN Hafiz Ghazi melakukan gimik perasmian sambil diperhatikan Akmal Nasrullah Nasir (dua dari kiri) dan Mohd. Jafni Md. Syukor (kiri) sempena Majlis Pelancaran JPEX Johor Property Expo 2023 di Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru, hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU: Langkah kerajaan menambah baik skim pinjaman perumahan disediakan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) seperti umumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu merealisasikan hasrat rakyat memiliki rumah idaman masing-masing.
Penambahbaikan itu turut melibatkan jaminan pembiayaan perumahan sehingga 120 peratus daripada harga rumah yang bernilai RM300,000 ke bawah.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, usaha itu diyakini dapat membantu rakyat yang sukar memiliki kediaman sendiri kerana berdepan masalah pembiayaan.
“Skim ini akan memberi manfaat kepada peminjam, apabila jaminan dinaikkan kepada 120 peratus, ini membolehkan peminjam yang sebelum ini sukar mendapatkan pinjaman perumahan kini boleh diberikan pinjaman.
“Kita harap penambahbaikan terhadap skim ini akan disambut baik kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan pemberi pinjaman iaitu pihak bank, supaya usaha ini digunakan sebaiknya dan dimanfaatkan seramai mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Ekspo Hartanah Johor di pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall, di sini semalam. Hadir menyempurnakan majlis, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman.
Sementara itu, Onn Hafiz turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan berhubung pengumuman jaminan kerajaan sehingga RM5 bilion di bawah SJKP dalam membantu rakyat memiliki rumah sendiri.
“Saya difahamkan dalam skim ini, kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kewangan akan menjadi ‘guarantor’ kepada pembeli, terima kasih Perdana Menteri kerana mengutamakan sektor perumahan,” ujarnya. – UTUSAN
(Web source: https://www.utusan.com.my/nasional/2023/07/tambah-baik-skim-sjkp-bantu-realisasi-impian-rakyat-miliki-rumah/)