UDA, Bank Muamalat jalin kerjasama galakkan pemilikan hartanah kediaman & komersial

Bernama (Malay), 1 April 2021

KUALA LUMPUR, 1 April -- UDA Holdings Bhd (UDA) dan Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) pada Khamis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menggalakkan pemilikan hartanah kediaman dan komersial bagi semua lapisan masyarakat serta usahawan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd Salem Kailany berkata melalui kerjasama itu sebanyak 14 projek hartanah kediaman dan komersial akan dibangunkan di seluruh negara.

“Bagi segmen hartanah, UDA yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan menyediakan pelbagai jenis produk hartanah dalam usaha meningkatkan kadar pemilikan hartanah di negara ini.

“Selain itu bagi segmen perniagaan pula, khidmat nasihat dan kemudahan fasiliti disasarkan untuk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (IKS) yang melibatkan vendor dan rakan niaga” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian MoU tersebut di sini, pada Khamis.

Beliau menandatangani MoU itu bagi mewakili UDA Holdings manakala Bank Muamalat diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Khairul Kamarudin.

Ketua Bahagian Perbankan Pengguna Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abiden berkata pihaknya akan menyediakan pembiayaan akhir kepada pembeli berpotensi untuk produk hartanah yang dibangunkan UDA.

Beliau berkata ia melibatkan projek perumahan dan komersial pelbagai peringkat termasuk projek mampu milik dan wakaf.

Bank Muamalat turut menyasarkan pembiayaan RM100 juta sehingga hujung tahun ini bagi pembelian rumah melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan Skim Rumah PertamaKu (SRP), katanya.

“Pembiayaan sebanyak 100 peratus akan diberikan selain pembiayaan mudah lulus dalam tempoh kurang 48 jam akan ditawarkan kepada mereka yang layak.

“Selain itu Bank Muamalat menawarkan kadar keuntungan dengan terma kompetitif untuk pembeli berpotensi yang mempunyai penilaian kredit yang memuaskan,” katanya.

-- BERNAMA

 

(Web source: https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1947917)